ADVERTISEMENT

Terbaru Disini :

Lain-lain Cerita Yang Menarik

Tuesday, September 6, 2011

Kanak-kanak Umur 7 Tahun Yang Tinggi Hanya 56cm !!


KUALA TERENGGANU: Melihat kepada saiz fizikalnya, pasti ramai tidak menyangka kanak-kanak cilik dengan ketinggian 56 sentimeter (22 inci) ini usianya tujuh tahun enam bulan.


Kama Mirezzanial Kama Rezmee yang juga cucu dua bekas atlet olahraga negara, Rajemah Sheikh Ahmad, 67, dan Allahyarham Kamaruddin Maidin mempunyai saiz fizikal tidak normal sejak lahir pada 2 Mac 2004.


Menurut bapanya, Kama Rezmee Kamaruddin, 36, anaknya yang lebih mesra dengan panggilan Zanial di kalangan ahli keluarga lahir ketika kandungan isterinya, Masitah Md Yusof, 34, berusia lapan bulan.



“Zanial lahir di Hospital Putrajaya menerusi pembedahan ketika isteri saya mengandungkannya lapan bulan.

“Pembedahan terpaksa dilakukan untuk mengeluarkan Zanial kerana dia ketika itu sudah mula membuang air besar dalam kandungan.


“Bayangkan ketika Zanial dilahirkan, ukuran badannya sebesar tapak tangan dan beratnya hanya 550 gram manakala jari tangan pula sebesar batang mancis dengan kepala sebesar bola tenis,” katanya ketika ditemui di rumah ibunya di Taman Permint Jaya, Chendering, di sini, kelmarin.


Berdasarkan saiznya, Zanial yang juga anak sulung dua beradik lebih rendah daripada lelaki terpendek di dunia, Junrey Balawing, 18, dari Filipina yang mempunyai ketinggian 60sm.

Dia juga lebih rendah daripada Khagendra Thapa Magar, 19, yang dilantik Duta Pelancongan Nepal bagi kempen melawat negara itu dengan ketinggian 67sm.



Khagendra diisytiharkan sebagai lelaki kedua terpendek di dunia.
Menurut Kama Rezmee, Zanial kini mempunyai berat badan 4.8 kilogram dan mempunyai sifat yang normal dan cukup anggota badan tanpa cacat cela cuma saiz fizikal badannya kecil seperti kanak-kanak berusia setahun atau dua tahun.


“Adiknya, Kamarya Myzara berusia empat tahun separuh lebih tinggi daripadanya menyebabkan kalau mereka berdua bermain, ramai menyangka Zanial itu adik.


“Sejak dia berusia lima tahun, saya perhatikan tubuh badannya tidak membesar. Dia seorang kanak-kanak periang tetapi agak pemalu dengan orang tidak dikenali,” katanya yang menguruskan syarikat katering di Seri Kembangan, Selangor.


Kama Rezmee berkata, sebaik dilahirkan menerusi pembedahan, anaknya itu terpaksa diletakkan dalam wad khas 10 hari dengan pengawasan rapi pihak Hospital Putrajaya kerana keadaan fizikalnya terlalu kecil serta lemah selain untuk mengelak dijangkiti virus.


Menurutnya, selepas dikeluarkan dari wad itu, anaknya diletakkan dalam inkubator selama 75 hari dan sepanjang tempoh itu, orang ramai dan ahli keluarga tidak dibenarkan mendekati Zanial.


“Ketika ditempatkan dalam wad khas, doktor memberitahu peluang untuk Zanial hidup hanya 35 peratus.
“Saya bersyukur kerana sekarang Zanial sudah boleh berjalan dan sihat. Doktor yang membuat pemeriksaan ke atasnya juga mengesahkan dia tidak mempunyai sebarang penyakit,” katanya.


Sementara itu, Rajemah berkata, dia difahamkan cucunya itu menghidap sindrom Seckle yang menjejaskan tumbesaran dan penghidap sindrom berkenaan dikatakan mempunyai wajah hampir serupa.


“Setakat ini Zanial tiada sebarang masalah kesihatan dan dia sentiasa riang bermain dengan adiknya, Kamarya Myzara serta ahli keluarga yang lain. Dia juga boleh berkomunikasi walaupun percakapannya seperti kanak-kanak yang baru boleh bercakap,” katanya.


Menurutnya, dia berhasrat melihat Zanial boleh membaca dan menulis seperti kanak-kanak lain yang pada usianya sudah berada di tahun satu.


“Sebelum ini Zanial pernah dihantar ke tadika tetapi hanya sekejap kerana dia menjadi seperti barang mainan kanak-kanak lain kerana terlalu kecil,” katanya.


“Kami juga bimbang jika dia dipijak kanak-kanak lain andai keadaan tidak dikawal menyebabkan kami berhentikannya daripada tadika. Ketika ini dia hanya belajar di rumah dengan ibunya,” katanya yang terpanggil memberitahu media mengenai cucunya itu selepas membaca akhbar mengenai Khagendra yang melawat negara ini, kelmarin.


Sementara itu, The Malaysia Book of Records yang dihubungi berkata, pihaknya akan memeriksa kriteria yang ditetapkan sama ada Zanial layak menyandang status lelaki terpendek di dunia atau tidak.




No comments:

Advertisement